بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum, ayuh sahabat-sahabat, kita kaji kisah Umar Al-Khattab, bagaimana umar memeluk islam...
Saidina Umar Al-Khattab r.a sangat dibanggakan oleh seluruh umat Islam dan sangat digeruni oleh orang-orang musyrikin. Pada awalnya beliau sangat kuat menentang Rasulullah S.A.W dan merupakan seorang musuh Islam yang sangat berani menyeksa orang-orang Islam sehinggalah beliau sendiri memeluk agama Islam.
Peristiwa pengIslaman Saidina Umar Al-Khattab bermula apabila pada suatu hari orang-orang Quraisy bermesyuarat bagi melantik seseorang untuk menjalankan usaha untuk membunuh baginda Rasulullah S.A.W. Umar menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab itu. Tawaran beliau mendapat sorakan daripada hadirin memandangkan beliau merupakan panglima perang Quraisy yang paling terkemuka dan handal. Umar lantas menggalas pedangnya di tengkuk lalu lalu terus pergi untuk menyelesaikan tanggungjawab tersebut. Dalam perjalanan, beliau bertembung dengan Saad bin Abi Waqqas r.a dari Bani Zuhrah.
“Mahu ke mana engkau wahai Umar?”
“Aku mahu membunuh Muhammad!” jawab Umar.
“Tidakkah engkau sedar bahawa Bani Hashim, Bani Zuhrah dan Bani Abdul Manaf akan bertindak balas membunuhmu”.
Umar tersinggung dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh Saad lalu menghunus pedangnya. Saad juga bertindak sedemikian untuk mempertahankan nyawanya sambil mengisytiharkan keIslamannya. Pertarungan hampir tercetus dan pada ketika itu Saad berkata:
“Terlebih dahulu kamu perbetulkan urusan keluargamu. Adik perempuanmu dan iparmu telah memeluk Islam”.
Mendengar sahaja berita itu, kemarahan Umar meluap-luap dan beliau menukar langkah untuk menuju ke rumah adiknya. Pintu rumah adiknya dikunci dari dalam dan kedua-dua adiknya sedang menerima pengajaran Al-Quran daripada Khabbab r.a. Umar mengetuk pintu dan memanggil adiknya supaya membuka pintu.
Mendengar suara Umar, Khabbab r.a terus menyembunyikan dirinya dalam sebuah bilik. Beliau terlupa untuk membawa lembaran-lembaran Al-Quran. Apabila pintu dibuka, Umar terus memukul adiknya sambil berkata:
“Wahai musuh kepada musuhmu sendiri. Kamu juga telah meninggalkan agama datuk nenek moyang kamu. Apa yang telah kamu lakukan? Siapakah pemilik suara asing yang aku dengar dari luar sana?’’.
Adik iparnya menjawab:
“Kami sedang bercakap antara satu sama lain”.
Umar bertanya kepadanya:
“Adakah kamu juga meninggalkan agama nenek moyang kamu dan memeluk agama baru itu?”.
Adik iparnya menjawab:
“Tetapi apa salahnya sekiranya agama yang kami anuti itu lebih baikdan benar?’’.
Apabila mendengar sahaja jawapan daripada adik iparnya itu, Umar bertambah menyinga lalu memukulnya, menarik janggutnya dan membelasahnya dengan teruk. Apabila adik perempuannya mencelah, dia memukul muka adiknya begitu kuat sehingga mengalir darah dengan banyaknya. Adiknya meluahkan perasaannya:
“Umar, kami dibelasah hanya kerana kami menjadi seorang muslim. Dengarlah! Bahawa kami berazam untuk mati sebagai seorang Islam. Kamu bebas melakukan apa sahaja terhadap kami kerana Allah sentiasa berada bersama kami”.
Dia berasa menyesal dengan perbuatannya apabila melihat adiknya berlumuran darah. Matanya terpandang lembaran Al-Quran yang tidak sempat dibawa oleh Khabbab r.a. Lalu beliau cuba untuk mengambil lembaran Al-Quran untuk melihat apakah kandungannya. Adiknya berkata:
“Tidak! Badanmu bernajis dan tidak seorang pun yang bernajis dibenarkan untuk menyentuh Al-Quran”.
Umar mendesak ingin menyentuhnya tetapi adik perempuannya enggan membenarkan tindakannya kecuali beliau membersihkan dirinya terlebih dahulu. Akhirnya Umar akur. Setelah beliau mandi beliau mula membaca lembaran tersebut dan surah yang dibacanya ialah Surah Thaha. Beliau memulakannya daripada awal. Apabila sampai kepada ayat berikut, pemikirannya bertukar sama sekali:
“Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada Tuhan selain Aku kerana itu, sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku”.
(Surah Thaha : ayat 14)
Lantas Umar bersuara:
“Baiklah bawakan aku berjumpa Muhammad”.
Apabila mendengar kata-kata ini, Khabbab pun keluar dari tempat persembunyiannya dan berkata:
“Wahai Umar! Berita gembira untukmu. Semalam Rasulullah s.a.w telah berdoa kepada Allah.Ya Allah! Perkuatkanlah Islam melalui Umar atau Abu Jahal, sesiapa yang Engkau kehendaki”.
“Nampaknya doa Rasulullah ini diperkenankan untukmu”.
Umar pun pergi menemui Rasulullah s.a.w lalu terus memeluk Islam pada pagi Jumaat. PengIslaman Umar memberikan pukulan hebat kepada semangat orang-orang musyrikin. Namun begitu bilangan umat Islam masih kecil untuk mengimbangi seluruh negeri yang memusuhi mereka. Orang musyrikin melipatgandakan usaha mereka untuk menghancur leburkan dan melenyapkan Islam sama sekali. Dengan kehadiran Umar r.a, orang Islam telah mula berani untuk menunaikan solat di Tanah Haram.
Abdullah bin Mas’ud berkata:
“PengIslaman Umar adalah satu kejayaan yang sangat besar. Penghijrahannnya ke Madinah menambahkan kekuatan dan pengkhalifahannya mendatangkan sebesar-besar rahmat kepada orang Islam”.
like this story :)
BalasPadamme too, syukran for read my blog.. ieyna.. =)
BalasPadam