.: FoLLoWer :.

Jumaat, 29 April 2016

::: Diari Kurus dan Sihat Cik Hani Vol 4 :::

بسم الله الرحمن الرحيم

Sambungan vol 3...

Assalamualaikum.. 

Topik yang ingin saya bawakan pada kali ini ialah lebih kepada pengalaman atau sejarah kegemukkan saya... Salah seorang sahabat saya ini tertanya-tanya bagaimana saya boleh naik berat secara mendadak.. haha.. Awak, saya taklah naik terus secara mendadak.. Saya jadi membulat ni ambil masa bertahun juga. Lagipun setelah hampir 4 tahun meninggalkan Matrikulasi, barulah saya
 berjumpa kembali dengan sahabat saya ini . Haa, sepanjang waktu itulah saya mengumpul lemak. Adehh, Farhani! 

Sejarah Kegemukkan Cik Hani

Sejak kecil saya antara yang paling kurus dalam keluarga. Ya, sebenarnya semua adik beradik saya kurus kecuali adik di bawah saya. Itupun adik saya mula berisi selepas mak bagi suplemen penambah selera makanan kepadanya (Saya tumpang makan juga sebab sedap! hihi). 

Jadi bila awak start membulat ni?? 

Detik permulaan kegemukan saya ialah semasa bermula semester 2 di kolej matrikulasi Gopeng, Perak (KMPK)... Iaitu pada tahun 2009...

Ehh, bagaimana boleh gemuk Farhani, awakkan makan sekali sehari sahaja? 

Ya betul. saya makan sekali sehari tetapi kuantiti makanan yang diambil banyak. Seperti orang lain, saya pun makan nasi dan kesilapannya ialah pada lauk wajib saya iaitu kentang. Saya makan kentang sama banyak dengan nasi. Kita tahu bahawa kentang dan nasi ialah komponen karbohidrat. Jika pengambilan sumber karbohidrat tersebut berlebihan, akhirnya karbohidrat yang tak diperlukan badan akan bertukar menjadi lemak. Itulah yang berlaku kepada saya. Selain itu, kekerapan saya makan dalam sehari turut berubah. Saya masuk asrama sejak tingkatan 1 sehingga tingkatan 5. Setelah itu, saya masuk PLKN pula. Pola pemakanan di asrama dan PLKN ialah 6 kali sehari makan. Tetapi apabila, saya melanjutkan pelajaran diperingkat pra-universiti di KMPK, saya mula makan sebanyak 1 kali sehari. Mungkin sistem dalam badan saya mula keliru.  


Kenangan zaman sekolah semasa tingkatan 5.. (2008)
Ketika ini saya atlet larian jarak jauh

Saya juga terus tak aktif dalam sukan olahraga semasa di KMPK. Dulu setiap kali riadah semasa di asrama, hobi saya ialah dengan berjogging. Tetapi semuanya berubah, saya tinggalkan hobi saya. Untuk pengetahuan semua, saya mula berlari semula pada tahun 2016. Bayangkan berapa lama saya tinggalkan dunia larian ini. Hampir 6-7 tahun.. hmm. 

Semasa di KMPK, kali terakhir saya kurus. (2009)

Awak ni dah gemuk, takde masalah kesihatan ke?

Ada... Semasa semester 2 tahun 1, saya menghadapi masalah kesihatan yang pernah saya ceritakan dalam Diari Vol 1. Saya mula bimbang dan menangis sebab tak pernah jadi begitu. Persoalan yang timbul ketika itu kenapa ya boleh jadi macamtu? Macam-macam saya fikir, adakah aku mengandung? Aishh mana boleh mengandung jika couple pun tak pernah, berdating dan bertepuk tampar dengan ajnabi pun saya tak pernah lakukan sepanjang hidup saya.. T_T Adakah saya ada barah rahim? Adakah saya sakit? Adakah saya ada cyst atau fibroid? Haishh.. macam-macam saya fikir.. lawak bila teringat kembali. Paling teruk boleh saya fikir mengandung.. Aduhai. Bagaimana boleh saya berfikiran begitu. Setelah bertahun-tahun menghadapi masalah tersebut dan masuk tahun 2016, sudah genap 3 tahun saya berjumpa pakar.. Saya sudah kembali normal sejak bulan 9/2015. Alhamdulillah...

Macam mana awak boleh ada masalah begitu?

Hmm.. Barulah saya tahu.. Rupa-rupanya saya jadi begitu akibat daripada gaya hidup saya yang tidak sihat sejak KMPK dan saya tinggalkan sukan. Hormon saya tak stabil. Itulah puncanya. Kini saya boleh tersenyum gembira. Alhamdulillah.. Semuanya atas izin Allah. Apabila kita gemuk, pelbagai penyakit boleh kita dapat. Saya bersyukur kerana saya bebas masalah kesihatan seperti kencing manis, sakit jantung, hypertension dan sebagainya. Saya juga bersyukur kerana sempat untuk turn back menjadi diri saya seperti di zaman sekolah. Sihat. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah.. 

Alhamdulillah.. berapa kg awak yang paling berat?

Berat yang pernah saya capai paling maksimum sekitar 90kg++ semasa tahun 2013. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang menanggung ni akibat berat badan saya yang sangat berat.. alahai...

Masya Allah! Obes kot farhani Tahun 2013. Mengapa jadi begitu?

Berat saya naik mendadak kerana saya stress yang melampau. Bulan yang paling sedih dan stress yang pernah saya lalui dalam hidup ialah pada bulan Mei dan Jun 2013.  Pada bulan Mei, bermula dengan peristiwa gagal dalam soal hati. Tak mengapalah bukan jodoh saya dan Allah juga Maha Tahu apa yang Terbaik buat hamba-hambaNYa. Ya, tipu jika saya cakap saya tidak sedih kerana sudah lama saya kekal bertahan dalam hubungan itu. Ada hikmah disebalik yang berlaku. Kesedihan itu bertambah apabila saya kesuntukkan duit untuk membayar baki yuran sebanyak RM400. Saya buntu dan tak tahu nak mencari duit di mana. Apa yang saya lakukan ialah saya pergi mencari makanan untuk menghilangkan stress saya. Aduhai Farhani! haha.. Mengapa saya tiada wang? kerana saya menghadapi masalah tiada tajaan selama setahun akibat PNG yang tak memenuhi syarat penaja saya. Apabila PNG saya jatuh teruk, PNGK juga ikut jatuh sama. Semuanya salah saya, saya terlalu aktif semasa tahun 2 di Universiti sehingga tak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Akibatnya, 2 semester saya tidak mendapat bantuan kewangan. 

Pada semester 1 tahun 3, semasa tiada tajaan saya merahsiakan daripada pengetahuan keluarga saya. Ketika itu, saya buat part time dan melepaskan semua jawatan yang ada. Pada masa itu, saya hanya bertawakal kepada Allah. Saya tak boleh lupa perasaan saya ketika dalam poket saya hanya ada RM0.50 sahaja. Allahurabbi.. Akibat daripada tiada duit, saya makan bubur hampir setiap hari. Saya tak mampu nak makan makanan yang lebih sihat dan memang memberi kesan kepada berat badan saya kerana sumber utama makanan saya hanyalah karbohidrat. Tidak seimbang. Allah sahaja yang tahu apa yang saya rasa. Tetapi Allah hadirkan saya teman yang baik dan memahami. Terima kasih buat sahabat saya Nadila Ma'aroff (Jom support bisnes kawan saya ni ya!) yang membantu saya untuk menghadapi hari-hari saya yang sukar. Namun begitu, saya masih rasa sangat bersyukur kerana masih ada duit untuk beli beras dan boleh makan berbanding saudara kita yang mungkin berhari-hari tak dapat makan. Allahu Allah. T_T.. Semasa tahun 3, saya memang betul-betul fokus dan alhamdulillah PNGK saya naik semula meskipun tak seperti keputusan tahun 1. Rezeki, saya masih berpeluang menyambung pengajian diperingkat Master. Alhamdulillah. Terima kasih buat Dr Eddie kerana mempercayai saya. Doakan saya ya rakan-rakan.  


Jubah ini saya beli sangat besar tetapi saya hampir muat-muat.. T_T 
(2013)

Selain ujian soal hati dan kewangan, saya menghadapi masalah ketika writing tesis. Tesis saya bermasalah sehingga apa yang menyedihkan saya bukan kerana saya dihentam teruk semasa viva tetapi........... biarlah ia kekal rahsia dan saya sudah pun memaafkan serta saya anggap itu sebagai ujian buat diri saya. Malah, saya anggap itu ialah teguran Allah buat diri saya. insya Allah.. Mungkin saya pernah menyakitkan hati orang tanpa saya sedari. Maafkan saya ya kawan-kawan dan semua yang mengenali, jika saya ada buat silap tegur saya ya.

Semester 2 tahun 3.. Paling berisi sepanjang hidup saya. Masya Allah.

Selepas peristiwa yang berlaku habis viva, saya menangis tak berhenti akibat terlalu stress. Saya masih ada exam keesokkan harinya. Saya mohon Allah kuatkan hati saya. Alhamdulillah Allah sangat baik. Saya dapat jawab exam dengan baik dan keputusan exam saya juga cemerlang. Alhamdulillah. Hakikatnya, saya memang dah mula berisi sewaktu semua peristiwa tersebut berlaku, namun bertambah berisi akibat stress. Saya tahu bahawa setiap orang mengawal stress dengan cara masing-masing. Kesilapan saya ialah saya menghadapi stress dengan makan dan makan. hmm..

Berkonvo dengan badan yang chubby.. 10/2013

Itu sahaja cerita disebalik punca kegemukkan saya. Bukan salah sesiapa tetapi salah saya kerana saya tidak berjaya mengawal emosi dengan baik dan menangani stress dengan cara yang salah.. 

Permulaan diet 24/8/2015

Buat rakan pembaca yang menghadapi masalah kegemukan.. kisah kita mungkin berbeza.. Namun kita menghadapi masalah yang sama. Jangan takut untuk menghadapinya. Kuatkan semangat dan tekad untuk berubah. Saya sendiri nekad untuk berubah selepas 5 tahun menyimpan lemak dan diet saya bermula pada tarikh 24/8/2015.

Permulaan diet 24/8/2015.. Pipi sangat chubby!

Sesungguhnya, perubahan itu perlu demi kesihatan kita kerana tubuh badan yang kita ada ini ialah amanah dari Allah untuk kita jaga dengan sebaiknya. Sebaiknya, biarlah kita kembali kepada Allah dalam keadaan yang sempurna semampu kita. Sebagimana kita mahukan barang kita dikembalikan dalam keadaan yang terbaik setelah dipinjam. Namun, Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang, Allah memang tidak menilai bagaimana fizikal kita semasa kembali kepadaNya, namun iman dan amalan kita yang menjadi perhitungan. Walau bagaimanapun, tak salah untuk kita beri yang terbaik untuk Allah Yang Maha Esa.. Berusahalah untuk sihat supaya dengan sihatnya tubuh badan kita, kita lebih bersemangat untuk beribadah kepada Allah. Tak mahukah kita, apabila menjangkau usia 50-an, kita masih lagi sihat dan segar untuk meningkatkan amal ibadat kita kepada Allah? Seronok bukan, apabila kita berusia 70-an, kita masih mampu berjalan dengan sempurna untuk pergi ke masjid atau mungkin menunaikan haji atau umrah di kota suci Mekah..? SubhanAllah.. Itulah impian saya.. Saya harap kita semua juga ingin kekal sihat sehingga sampai ajal kita. 

Oleh itu bermula esok... ehhh bukan esok tetapi detik ini.. berusahalah menjaga kesihatan agar impian kita di hari tua menjadi kenyataan. Kalau bukan sekarang bila lagi? Tepuk dada, tanya diri dan iman, apa yang kita mahukan dalam hidup. Muhasabah diri, pengakhiran yang bagaimana yang kita inginkan? Semuanya terpulang kepada kita.. Alhamdulillah jika ada terdetik sedikit dalam hati rasa ingin melakukan perubahan untuk kehidupan yang lebih baik... Walau bagaimanapun, tajdid semula niat kurus kerana Allah supaya siapa kita sebelum dan selepas adalah sama. Maksud saya, jika dulu semasa gemuk, kita seorang yang menutup aurat dengan sempurna. Pastikan apabila kurus kita masih seperti itu. Sebaliknya jika semasa gemuk kita masih tidak bersedia menutup aurat seperti yang dituntut agama, lakukanlah perubahan untuk melaksanakan apa yang disukai Allah. Barulah kita akan merasai manisnya perjalanan penurunan berat badan ini. Insya Allah.. ^_^

Ketika saya sudah loss 19kg. 2016.

Selain itu, saya suka membaca penulisan oleh Ustadz Dr. Eng. H. Yunus Daud (2015). Menurut beliau, Rasulullah adalah suri tauladan bagi manusia. Rasul sihat sepanjang hayat. Kenapa Rasul sihat? Kerana Rasulullah adalah Al Quran yang berjalan (kesimpulan daripada isteri baginda, Saidatina Aishah)  segalanya seimbang sesuai dengan Al Quran. Makannya seimbang, mudah senyum dan tidak mudah marah, rajin berzikir, khusyuk dalam ibadah. Jom contohi Rasulullah s.a.w. ya.. Akhir kalam, makanlah ikut keperluan bukan kehendak dan makanlah ikut taqwa.. Semoga kita semua dalam redha dan kasih sayang Allah.. aamiin ya Allah.. 

Nantikan perkongsian saya yang seterusnya berkenaan BMI dan BMR serta berkenaan kalori makanan dalam Diari Vol 5.. insya Allah.. 

Terima Kasih..  جزاك اللهُ خيرًا


Wallahu'alam...

Khamis, 28 April 2016

::: Diari Kurus dan Sihat Cik Hani Vol 3 :::

بسم الله الرحمن الرحيم

~Sambungan Vol 2..


Assalamualaikum.. 

Alhamdulillah.. masih ada kesempatan waktu untuk menulis dan berkongsi pada kali ini.. seperti yang dijanjikan saya akan berkongsi berkenaan contoh menu makanan yang saya amalkan semasa dalam tempoh diet. Sebelum itu, saya akan berikan sedikit tips yang membantu saya mengurangkan berat badan sehingga 9.4kg selama 2 bulan pertama diet.. Target untuk mengurangkan sebanyak 10kg tak tercapai berikutan beberapa kekangan yang dihadapi.

Ok baiklah, antara tips ringkas yang masih diamalkan sehingga kini (ada yang dah mula saya  tinggal)

1) tak boleh minum langsung air yg manis.. No no no.. sebab air manis ada kalori.. bagi saya sangat rugi jika minum air manis. Bagi yang berpendapat bimbang tiada tenaga, bagi saya gula atau glucose kita masih boleh dapat menerusi masakan dan nasi.. Jadi tiada masalah pun untuk tinggalkan terus air manis. Gula putih ini sebenarnya tidak bagus untuk kesihatan. 

 
2) tak boleh minum air ais untuk kurangkan buncit (ini pantang saya ja.. hihi).. Di bawah saya kepilkan imej berkenaan kesan pengambilan air manis dan air ais.. semoga bermanfaat.



 


 Kesan amalan minum air manis.. Elakkan ya..

3)  Elakkan makanan berminyak (sebagai pelajar, tak mampu nak elak sangat kecuali di rumah)

4) Makan secara kerap iaitu 5 atau 6 kali makan tapi secara kecil hidangannya (Tujuan: meningkatkan proses metabolisma badan dan sistem pencernaan akan lebih aktif). Saya secara jujurnya hanya mengambil 5 hidangan kecil sahaja setiap hari. Saya akan berhenti makan sebelum jam 8 malam. Namun untuk yang terkini, saya hanya makan sebanyak 3 kali sehari kerana saya perlu berjimat (pelajar yang tiada tajaan sara hidup) dan selera makan semakin berkurangan. Alhamdulillah.

 
5) Nasi ambil sekali sehari sebanyak segenggam (terpulang pada masing-masing). Jika fobia dengan nasi, suka sumber karbohidrat yang lain, ya tafaddhol.. tiada masalah. Formulanya tetap sama hanya satu genggam ya.. Untuk mudah, rujuk kalori makanan tersebut (jika anda mengamalkan diet seimbang)




 Panduan Nasi segengam by Sifu Kevin Zahri

6) Timing atau masa makan sebolehnya sama, untuk tujuan membantu sistem dalam badan kita tak keliru dan sistem metabolisma tidak terganggu.
 
7) Wajib sarapan! Saya suka cara Hanis Zalikha, beliau berpandukan kata-kata: "
Breakfast like king, lunch like prince, dinner like a pauper/beggar " Lihatlah beliau sangat slim dan cantik. SubhanAllah..Sekarang pun dah bertudung.. Alhamdulillah. Syabas Puan! 
 
8) Amalkan minum teh hijau suam tanpa gula. Nak kesan cepat buat 3x sehari.. saya akan kongsikan kelebihan amalan teh hijau pada perkongsian akan datang.. insya Allah ^_~

 
9) Memulakan pagi iaitu sebelum sarapan dengan segelas air lemon suam. Tujuan untuk detox dan juga membantu untuk pembakaran lemak dari dalam badan..

 
10) Elak atau jangan makan langsung fast food ( mcd, kfc dll).. Banyak lagi pilihan makanan yang lebih sedap dan jauh lebih sihat atas muka bumi ini... insya Allah..


11) Minum air masak sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.. tapi untuk yang lebih baik, permulaan diet saya minum air masak setiap hari paling sedikit pun 4 liter.. Namun sejak bulan 3/2016, saya hanya minum sebanyak 3 liter air sahaja.. Sebenarnya ini bukan amalan yang diajar oleh Sifu Kevin, namun saya mengambil konsep dalam diet atkins. Apabila kita minum air dengan banyak, secara tidak langsung membantu untuk menyingkirkan toksin dari dalam badan kita. Selain itu, kenapa kita perlu minum air yang mengcukupi ialah bagi mengekalkan kelembapan kulit sebab apabila air tak cukup, badan akan menyerap cecair dari kulit. Akhirnya, kulit kita akan kering dan boleh kecut.. Mengapa Sifu Kevin tidak meletakkan syarat berapa banyak air yang perlu diambil kerana kata beliau, pengambilan air ini bergantung kepada keadaan. Keadaan yang bagaimana? Contohnya, kita bersenam.. badan akan dehidrasi, jadi sudah semestinya kita perlukan banyak air. Jangan risau jika selepas minum air yang banyak, berat badan akan naik. Normal berat akan naik tapi untuk tempoh yang sekejap sahaja sebab air tiada kalori dan tak akan disimpan sebagai lemak. ok? ^_~ 


p/s: jangan minum air melebihi had ya kerana kita bimbang akan timbul masalah lain iaitu melibatkan sistem pundi kencing kita. 




 


 Panduan jumlah pengambilan air mengikut berat badan

12) Makan berat sebelum jam 8 mlm. Tak boleh makan berat selepas. Tapi ini adalah syarat untuk diri saya kerana saya yang suka tidur awal. Jika rakan-rakan tidur lambat, boleh juga pastikan makan paling lambat 4 jam sebelum tidur. 
 
13) Guna losyen panas selepas mandi dan sebelum tidur (ikut kerajinan ^___^ )


14) Pastikan cukup tidur 6-8 jam. Tidur juga membantu untuk membakar kalori. SubhanAllah.


Itulah sedikit sebanyak amalan saya semasa 2 bulan yang terawal, untuk yang terkini, saya banyak kurangkan nasi selain mengurangkan jumlah hidangan makan sebanyak 3 kali sehari. Saya juga menghadapi kekangan kewangan, jadi bebarapa amalan untuk menjaga kesihatan terpaksa dihentikan. Walau bagaimanapun, dengan izin Allah, berat badan masih turun dengan baik meskipun tidak begitu konsisten berbanding dahulu. Lakukanlah diet mengikut kemampuan kita, yang penting jangan sampai memudaratkan diri dan kesihatan ya. insya Allah.. 

Untuk contoh menu makanan pula, sebelum mulakan diet bagi mengetahui berapa kalori yang diperlukan oleh badan adalah dengan mengira bmi (body mass index) dan bmr (basal metabolic rate). Saya akan ceritakan dengan lebih lanjut tentang bmi dan bmr pada masa akan datang. insya Allah. Secara purata, saya memerlukan sebanyak lebih kurang 1900+- kalori sehari dalam keadaan tidak aktif. Jadi untuk memastikan berat badan saya turun, saya akan memastikan kalori makanan saya adalah tidak melebihi 1100+- sehari. Dengan itu, saya boleh kurangkan sebanyak 1kg selama seminggu atau 2 minggu. Buat pengetahuan semua, 1kg bersamaan 7700 kalori ya. 
 
Berikut merupakan menu saya semasa 2 bulan yang pertama:


Sarapan       : Biskut Jacob 3 keping + 1 gelas lemon suam atau Salad + telur rebus
10 pagi         : sebiji buah
Tengahari     : Nasi segenggam + Lauk (elakkan berminyak kalau boleh) + sayur (banyak!)
3.30 petang : Kacang almond (maksimum 10 biji)
malam         : Sup (contoh sup sayur, ayam, daging, tomyam dll ) Hanya lauk tanpa nasi atau karbohidrat..

Pengambilan air pula sebanyak 4 liter dan saya akan minum 30 minit sebelum makan berat atau 1 atau 2 jam selepas makan berat. Selain itu, saya juga mengamalkan minum air teh hijau. Jumlah kalori lebih kurang 1100. 

Terlalu banyak lagi contoh menu. Kalau nak tahu berapa kalori makanan, boleh cari di laman cekodok.com atau google sahaja untuk mengetahui berapa kalori makanan tersebut.  Selamat merancang dan mencari ya! 

Nantikan perkongsian saya tentang bagaimana saya boleh mencapai berat obes dalam Diari Kurus dan Sihat Cik Hani Vol 4.. insya Allah.. ^_~
   
All the best!

Terima Kasih.. جزاك اللهُ خيرًا    

Wallahu'alam..
 
 
 

Rabu, 27 April 2016

::: Diari Kurus dan Sihat Cik Hani Vol 2 :::

بسم الله الرحمن الرحيم

~Sambungan Vol 1...

Assalamualaikum.. 


Pada kali ini saya akan menyambung persoalan tips bagi memulakan diet. Tips ini berdasarkan pengalaman saya sendiri dan juga kisah kejayaan rakan-rakan yang pernah saya baca di blog Kevin Zahri..

Seperti yang rakan-rakan sedia maklum, saya mengambil pendekatan diet seimbang yang diperkenalkan oleh sifu Kevin Zahri.. Permulaannya adalah dengan mengikuti beliau di facebook. Namun pada ketika itu, saya belum bersedia untuk menurunkan berat badan. Hanyalah angan-angan mak jenin pada mulanya. Saya kira hampir setahun saya hanya bercakap nak diet tapi saya tak pun bertindak mengorak langkah awal. Kenapa ya jadi begitu? Sebab saya sendiri tak tahu bagaimana nak mulakan diet kerana saya tak arif tentang hal ehwal diet ni! 

Maka, saya mulakan dengan betul-betul mengkaji diet seimbang ni menerusi pembelian e-book yang ditulis oleh sifu Kevin Zahri sejak awal bulan 8/2015. Kan saya pernah beritahu bahawa antara sebab awal diet, kerana untuk menghadiri majlis perkahwinan kawan saya. Majlisnya pada pertengahan bulan 9/2015. Ehh sempat ke nak kurus 'sedikit' ni? Jeng.. jeng.. jeng.. memang tak la awak-awak semua.. saya secara rasmi mulakan diet pun 24/8/2015 dan tempoh kenduri pula tak sampai sebulan. Jadi, pelan tu tak berjaya.. Walau bagaimanapun, saya bersyukur meskipun pada awalnya niat saya salah, namun kerana itu jugalah saya meneruskan perjalanan diet ini dengan semampu saya. Alhamdulillah ^_~

Saya melakukan kajian tentang diet ni dan juga diet lain juga iaitu diet paling digemari ramai iaitu diet atkins ni dalam tempoh sebulan. Setelah ada keyakinan, baru saya mulakan diet secara rasmi.. Saya buat perancangan menu makanan, kalori makanan, jadual penurunan berat, senaman yang sesuai dengan saya, keperluan senaman (pakaian, kasut dll), beli belah makanan yang sihat (semua dengan duit saya sendiri ya!) dan saya selalu membaca kisah kejayaan orang lain untuk menjadi penyuntik semangat agar saya terus bersemangat bagi mendapatkan berat badan yang ideal. insya Allah. Secara ringkas, untuk menurunkan berat ni bukanlah suatu yang mudah, namun jika kita sering beralasan dan tak berani mencuba, sampai bila-bila ia kekal menjadi angan-angan mak jenin. Akhirnya, kita menangislah melihat badan yang semakin memboolaat setiap hari. Noktah!

Baiklah.. bila awak dah ada sedikit ilmu, awak tak perlu pun membeli suplemen mahal-mahal, sertai program untuk kurus, laburkan duit untuk pembedahan dan banyak lagi lah perkara yang membuang duit. Saya tak kata salah untuk lakukan perkara-perkara tersebut JIKA awak mampu dan bekerja. Tapi untuk pelajar dan tak berduit seperti saya, banyak perkara yang perlu di consider. Buatlah ikut kemampuan kita semua ya.. insya Allah. Gitu ^^

Ok farhani.. cukup-cukuplah membebel. mana tipsnya??


Simptom lapar bukan jatuh cinta! ^^

Soalan yang saya tunggu-tunggu.. haha.. ok baiklah berikut merupakan beberapa tips ringkas sebelum nak mulakan sebarang diet: 

1) Perlu ada ilmu, kaji dan terus mengkaji tentang diet yang rakan-rakan nak lakukan. Saya sendiri mengkaji tentang diet seimbang dan diet atkins selama sebulan sebelum betul-betul serius memulakan diet.

2) Selepas dah buat pilihan diet apa yang nak ikut, mulakan perancangan! Perancangan saya merangkumi 3 keadaan iaitu sebelum, semasa dan selepas.. ok cadangan saya:

Sebelum mula diet secara rasmi:

~Mulakan kurangkan nasi… Kalau dulu awak makan 2 pinggan nasi, mungkin dah boleh mula makan sepinggan nasi pula.. kurangkan sehingga awak boleh makan segenggam nasi sahaja setiap kali makan. ^_~

~Haa, kata sayang dan cinta Rasulullah s.a.w., buktikan dengan mengamalkan sunnah seperti kunyah makanan sebanyak 40 kunyahan, minum dengan tangan kanan, sebelum makan dan minum baca basmallah, makan dengan tangan kanan dan sesudah makan jilat jari kerana ada kajian menyatakan bahawa tangan kanan kita ni ada enzim yang boleh mempercepatkan pencernaan makanan.. mudahkan? Semua amalan itu sudah terbukti baik menurut sains.. indahnya Islam.. SubhanAllah..

~Tukar gaya pemakanan awak. Contoh, sebelum ni awak suka sangat makan sebelum nak tidur di malam hari.. sekarang, praktis untuk makan sekurang-kurangnya 4 jam sebelum tidur. Cuba lakukan selama sebulan dan rasai perbezaannya! Insya Allah ^_~

~ Belajar makan secara kerap tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Ehh, macam mana tu? bukan ke lagi banyak makan lagi trigger untuk jadi gemuk? Nope.. jangan risau.. ini merupakan kaedah yang bagus dalam meningkatkan metabolisma badan dan mengaktifkan sistem pencernaan kita. Kalau dulu awak makan sekali sehari sahaja, sekarang awak tukar makan 6 kali sehari. Secara ringkas, sarapan, makan pagi, makan tengah hari, makan petang, makan malam dan supper. Buat rakan-rakan yang pernah tinggal di asrama akan biasa dengan rutin ni.. Contoh menu makanan dan sebagainya akan saya kongsikan dalam perkongsiaan yang seterusnya (Diari Kurus dan Sihat Cik Hani Vol 3..) insya Allah. 

Semasa fasa diet:

~Make sure awak dah hadam betul-betul diet yang awak nak follow tu ya..

~Buat pelan diet dan rekod penurunan berat seminggu sekali. Tujuan untuk memastikan kita capai sasaran dan masih meneruskan diet sehingga berjaya. Saya suka rekod berat setiap hari ahad sebelum sarapan dan selepas ke tandas. Terpulang kepada masing-masing.

~Kalau awak mulakan diet dengan berat badan di fasa obes dan lebih dasyat dari obes, saya cadangkan awak lakukan workout/senaman/cardio yang ringan (low impact) supaya awak tak mengalami masalah kesihatan yang lain pula. Selain itu, buat medical checkup tau! Sebab ada kes meninggal dunia selepas mengikuti program diet. Arwah menghidap masalah jantung. Itu yang kita bimbangkan. Tak salah untuk melakukan senaman, namun senaman bukanlah penyumbang utama penurunan berat tetapi pemakanan yang sihat menjadi penentu kejayaan diet awak. Saya selalu berpesan kepada rakan-rakan saya supaya jangan paksa diri untuk bersenam kalau tak mampu kerana kita nak pakai lama organ-organ dalam badan kita.. seluruh jasad kita adalah amanah Allah buat kita. Jaga elok-elok ya.. Nak Berjaya dalam proses turunkan berat badan ini, guna formula ni.. iaitu

70%-80% ~ Jaga pemakanan
20%-30% ~ Senaman

~ Tak salah awak nak reward diri awak sekali seminggu tapi jangan over limit pula ya! Yang penting awak enjoy perjalanan penurunan berat ini.. jangan stress dan saya selalu pesan pada diri, nak cepat sangat turun berat ni nak pergi mana? Haha.. melainkan awak nak kurus sebab nak kahwin dll la..

Selepas Berjaya dalam perjalanan menurunkan berat badan:

~Jangan enjoy sangat ya.. nak enjoy boleh tetapi make sure berat awak tak naik mendadak sehingga awak kembali membolaatt macam dulu.. hee.. letih tau nak diet!
~Perancangan / pelan diet yang baru pula untuk kekalkan berat badan dan kekal sihat..
~ Boleh buat senaman high impact untuk tone up muscle dan dan nak dapat badan yang lebih fit dan cantik
~ Teruskan amalan diet awak dan semoga Berjaya!

3) Kuatkan semangat dan tekad. Abaikan cercian, makian dan pujian orang. Kita nak Berjaya, kita perlu bergantung pada diri kita bukan pada cakap-cakap orang ya..
4) Letak sebab yang kukuh, kenapa awak nak sangat diet.. Usahakan atas sebab tersebut..
5) Selalu baca kisah-kisah kejayaan orang lain yang dah kurus jika rasa hati tak kuat dah. Saya syorkan untuk awak menyertai kumpulan kelab diet atkins di facebook. Segalanya adalah percuma. Walau pun saya bukan pengamal tegar diet atkins, tapi bila ikuti group tersebut, banyak ilmu yang saya dapat.
6) Cari seseorang yang dah berjaya untuk dijadikan contoh buat kita. Kalau saya, saya suka dan kagum dengan kejayaan Sis Zulaikha Fallen, pengamal diet atkins yang dah berjaya menurunkan berat badan dalam masa yang sangat singkat. SubhanAllah, hebat! Beliau juga mengekalkan identiti sebelum diet dan selepas diet. Menutup aurat ^_~ syabas sis!
7) Enjoy your journey! Jangan stress! Nikmati perjalanan ini dengan hati yang gembira J

Semoga Berjaya!

Setakat itu sahaja tips dari saya untuk kali ini. Nantikan perkongsian saya yang seterusnya berkaitan topik contoh makanan yang saya amalkan semasa dalam proses penurunan berat.. insya Allah.. doakan saya mempunyai kelapangan waktu untuk berkongsi ya.. 

Terima Kasih.. جزاك اللهُ خيرًا 

Wallahu'alam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...